MASYARAKAT dunia mutakhir ini menyaksikan banyak kejadian keganasan, rusuhan dan pengeboman yang berlaku di seluruh pelusuk dunia. Kejadian pengeboman di Bali satu ketika dulu, pengeboman hotel di Bandar Mumbai, India,serangan rejim Israel terhadap negara Palestin dan yang terbaru di Malaysia,pembakaran rumah ibadat yg menimbulkan sentimen perkauman.
Semua kejadian yang berlaku menunjukkan ancaman keganasan semakin meningkat dari semasa ke semasa tanpa mengira tempat dan masa. Lebih malang dan menyedihkan lagi apabila kejadian keganasan itu berlaku, ada pihak yang terus menuding jari antara satu sama lain.Malah yang lebih membimbangkan ialah mereka yang terbabit dalam aktiviti keganasan ini membenarkan perbuatan mereka berhujahkan ajaran agama.
Namun, bagaimana pula dengan keganasan yang dilakukan Rejim Israel terhadap warga Palestin, mengapakah Rejim Israel tidak dilabelkan pengganas?Kuasa besar seolah-olah hanya memejamkan mata melihatkan rentetan kekejaman dilakukan ke atas rakyat Palestin. Apakah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu rupa?
Justeru, amat penting bagi golongan ulama Islam pada ketika ini untuk memberi penjelasan bahawa istilah keganasan tidak ada dalam kamus Islam, malah tidak wujud dalam mana-mana agama samawi yang lain.Pendek kata, Islam dan agama samawi tidak menghalalkan sebarang bentuk keganasan.
Pengganas adalah penjenayah yang wajib ditentang dan dihapuskan. Begitu juga keganasan atas nama agama adalah sesuatu yang seharusnya ditolak dan ditentang sama sekali.Sehubungan itu, adalah sesuatu yang amat penting bagi umat Islam terutama pemimpin dan ulama Islam memberikan penjelasan dan tanggapan benar kepada masyarakat dunia bahawa Islam sebagai al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam sebagaimana terungkap dalam firman suci Allah Taala dalam surah Al-Anbia, ayat 107 yang bermaksud:
'''Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.''
Perlu ditegaskan bahawa Islam dari pelbagai sudutnya iaitu akidah, syariat dan akhlak, pada dasarnya amat menganjurkan umatnya supaya membentuk sebuah masyarakat sejahtera dan aman damai. Tidak timbul sama sekali istilah keganasan, pelampau dan lain-lain dalam kamus kehidupan umat Islam. Islam bukannya punca keganasan, sebaliknya penganut yang jahil mengenai Islam yang bersalah dalam hal ini.
Maka benarlah kata Mustafa Mahmud dalam bukunya Islam Fi Khandaq yang menegaskan bahawa punca utama kelemahan umat Islam kini ialah kerana mereka memahami Islam dengan kefahaman yang salah dan menyeleweng. Mereka memahami Islam sebagai satu agama yang menyeru kepada tawakul (bukannya tawakal) yang membawa maksud menyerah bulat-bulat kepada Allah Taala tanpa perlu berusaha dan berjihad, zuhud kepada dunia, berasa hina diri dan berpada dengan apa yang ada.
Orang Islam juga adalah umat yang amat rajin membaca al-Quran, namun mereka sentiasa keberatan untuk melaksanakan isi kandungannya dan tidak berusaha untuk melakukan perubahan dan kemajuan untuk diri mereka. Sebaliknya, mereka membaca al-Quran dalam keadaan perasaan, hati dan akal mereka mati untuk menyelami, memahami, menghayati dan juga mempraktikkan ayat-suci al-Quran dalam ruang lingkup realiti kehidupan sejagat.
Malahan ayat yang dibaca itu tidak berupaya bertindak sebagai pemangkin jitu ke arah kebangkitan, beramal, berjihad dan penerokaan terhadap rahsia Allah yang tersurat dan tersirat di bumi Allah Taala ini. Begitu juga, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Al-Ghazwu al-Thaqafiy Yamtaddu Fi Faraghina menyatakan umat Islam selamanya tidak akan berjaya dalam menunaikan risalah Islam yang diamanahkan melainkan jika mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi.
Kedudukan wasilah atau cara itu samalah dengan kedudukan ghayah atau matlamat yang dituju itu. Jika sesuatu amalan wajib itu tidak terlaksana melainkan dengan wasilah terbabit, maka wasilah itu dengan sendirinya akan menjadi wajib hukumnya.
Jadi, macam mana mungkin umat Islam hendak merealisasikan amanah menyampaikan Islam ke sekalian alam sekiranya mereka masih lagi bergantung hasil makanan daripada ehsan golongan kafir dan musuh-musuh Islam? Dan bagaimana pula umat Islam ingin bangkit berjihad pada jalan Allah sedangkan mereka masih lagi mengharapkan bantuan senjata dari musuh-musuh Islam?.
Jelas di sini ulama Islam sejak dulu lagi sudah mengupas persoalan salah faham umat Islam terhadap Islam sehingga mereka tergamak menghalalkan keganasan, rusuhan dan pengeboman atas nama Islam. Islam amat jauh sekali daripada apa yang mereka tafsirkan sebagai jihad pada jalan Allah.
Konsep jihad menurut perspektif Islam amat luas dan suci berdasarkan matlamat syariat yang digariskan Islam.Di dalam Islam, peperangan jihad tidak akan berlaku melainkan jika terpaksa iaitu apabila umat Islam dizalimi dan ditindas serta mereka ingin mempertahankan maruah mereka dan kesucian Islam daripada ancaman musuh Islam yang durjana.
Pada ketika itu, umat Islam diizinkan berjihad dan berjuang menentang musuh Islam, selaras dengan firman Allah Taala maksudnya:
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Surah al-Baqarah, ayat 190).
Peperangan jihad sebenarnya langkah terakhir yang diharuskan syarak kepada umat Islam dalam usaha mereka mempertahankan kesucian Islam daripada ancaman musuh Islam selepas beberapa langkah atau pendekatan awalan tidak berhasil dalam menangkis ancaman itu.
Inilah prinsip perjuangan Islam yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW untuk diteladani umat Islam selepasnya demi meneruskan kelangsungan Islam di bumi Allah ini.Di samping itu, selaras dengan kedudukan Islam sebagai al-Din bersifat rahmah, Islam amat menganjurkan umatnya agar menggunakan pendekatan berhemah dan lemah lembut sebelum memulakan langkah kekerasan.
Bukankah dakwah Islam tertegak atas landasan kata-kata yang lemah lembut seperti dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun ketika menghadap Firaun.Kisah ini menyingkap pendekatan dakwah yang berhikmah, islah secara baik, menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran biarlah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Allah.
Apa juga bentuk kekerasan dan keganasan adalah dilarang Islam sama sekali, terutama yang menyebabkan kemudaratan lebih besar kepada umum.Ini bermakna pengeboman, rusuhan dan membakar rumah ibadat yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah haram di sisi Islam, sekali gus termasuk dalam kategori perbuatan kerosakan yang disebut Allah sebagai al-fasad iaitu perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya yang akhirnya menyebabkan balasan cukup berat di dunia dan akhirat.Oleh itu, setiap Muslim wajib bermuhasabah dan mencermin diri sejauh mana kefahaman terhadap Islam agar tidak tersasar daripada landasan Islam. Perlu diinsafi bahawa Islam amat menganjurkan kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Tidak ada sama sekali istilah keganasan, rusuhan, pengeboman dan lain-lain lagi dalam kamus Islam, malah Islam mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan tindakan keganasan yang menimbulkan kemudaratan besar kepada manusia sejagat.
Wallahualam....
Friday, January 29, 2010
Islam Tidak Halalkan Keganasan Dan Penindasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment